Allah dan Tuhan dalam Terjemahan Alkitab

29 Januari 2013
Allah dan Tuhan dalam Terjemahan Alkitab

Artikel ini diterjemahkan dari Bahasa Inggeris dari website Krisis & Praxis

Mengapa Tidak Mungkin Menggantikan Allah dengan Tuhan dalam Terjemahan Alkitab

Orang Muslim di beberapa negara lain di dunia (Arab, Afrika Utara, Pakistan dan Indonesia) tiada bantahan dan tidak bimbang akan kemungkinan keliru apabila orang Kristian menggunakan perkataan Allah. Sebaliknya, segolongan orang Muslim Malaysia pula mendakwa mereka keliru; suatu fenomena yang sangat aneh. Pemerhatian ini membuktikan kebenaran kepada andaian bahawa isu Allah ini merupakan isu Melayu buatan dan bukan isu Muslim sebenar. Sebenarnya, bantahan yang dirancang terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Dec 2009 untuk membenarkan Catholic Herald (dan orang Kristian) menggunakan perkataan Allah harus dilihat sebagai manipulasi sinis oleh ahli-ahli politik Melayu untuk mendapatkan undi daripada masyarakat mereka.

Rujuk Malaysiakini 31/12/2009, “Court Declares Allah Ban Invalid” or Malaysiakini 5/1/2010. “Allah Row: Dr. Mahathir Says Law Cannot Solve it“. Rujuk Asia Sentinel 3/1/2010, “God and Allah in Malaysia”

Saya lebih suka memberikan penjelasan di luar muslihat politik. Orang Kristian mesti memastikan supaya hujah mereka dalam penggunaan perkataan Allah didasarkan pada bukti konkrit yang disokong oleh falsafah linguistik yang koheren dalam terjemahan Kitab Suci.

Tuntutan utama daripada orang Melayu yang membantah adalah orang Kristian harus berhenti menggunakan perkataan Allah kerana orang Kristian boleh mendapat penggantinya dengan mudah, iaitu menggantikan perkataan Allah dengan perkataan Tuhan. Sedihnya, tuntutan ini hanya mendedahkan ketidaktahuan orang yang membantah. Saya berfikir bahawa siapa pun orang Melayu akan tahu bahawa perkataan Allah dan Tuhan itu tidak sama. Bagaimana mungkin mereka mencadangkan supaya orang Kristian menggunakan perkataan Tuhan untuk menggantikan perkataan Allah? Secara linguistik, Allah dan Tuhan mempunyai erti khas yang berlainan walaupun kedua-duanya merujuk kepada perkara yang sama.

Kedua-dua istilah Allah dan Tuhan digunakan dalam Alkitab Bahasa Melayu/Malaysia.

Allah digunakan untuk menterjemahkan el/elohim.

Tuhan (atau TUHAN dalam huruf besar) untuk menterjemahkan Yahweh (YHWH), kerana mengikut keputusan lebih awal yang diambil oleh orang Kristian Arab.

Dua perkataan ini kadang-kadang digunakan bersama sebagai Yahweh-Elohim dalam 372 tempat dalam Perjanjian Lama (14 kali dalam Kejadian 2-3; 4 kali dalam Keluaran; 8 kali dalam Yosua; 7 kali dalam 2 Samuel; 22 kali dalam Tawarikh; 12 kali dalam Mazmur; 32 kali dalam Yesaya; 16 kali dalam Yeremia dan 210 kali dalam Yehezkiel, dsb.)

Lebih penting lagi adalah perkataan Tuhan digunakan untuk merujuk Yesus Kristus dalam Perjanjian Baru. Dengan itu, kita membaca TUHAN Yesus sebagai Tuhan Yesus (Perkataan TUHAN digunakan untuk menterjemahkan perkataan kurios 8400 kali dalam Septuaginta, versi Yunani Perjanjian Lama. Ia merujuk kepada manusia sebanyak 400 kali sahaja dan merujuk kepada Allah sebanyak 8000 kali, 6700 adalah pengganti bagi perkataan YHWH). Pemindahan gelaran kurios TUHAN/YHWH kepada Yesus Kristus menyatakan kepercayaan dalam ketuhanan Kristus sejak permulaan agama Kristian.

Kajian statistik yang sederhana ini menunjukkan dengan jelas bahawa tuntutan penunjuk perasaan Muslim supaya orang Kristian menggantikan perkataan Allah dengan Tuhan adalah tidak munasabah kerana ia akan menjadikan banyak ayat Alkitab yang merujuk kepada Allah dan Yesus Kristus, kurang tepat.

Pertama, penggantian perkataan tersebut tidak betul kerana maksud Allah dan Tuhan adalah berbeza. Kedua, ia menimbulkan keadaan yang tidak masuk akal apabila orang Kristian cuba menterjemahkan perkataan yang digunakan bersama, Tuhan Allah (LORD God). Adakah orang Kristian kini diwajibkan untuk memanggil LORD God sebagai Tuhan Tuhan? Ini merupakan penggunaan kata berlebihan secara linguistik.

Lebih buruk lagi adalah pengulangan kata Tuhan Tuhan akan difahami oleh pembaca Melayu bahawa orang Kristian percaya kepada banyak Tuhan/Allah (kerana perkataan jamak dalam bahasa Melayu dibentuk dengan menggandakan kata nama dan meletakkannya dalam kedudukan aposisi.)

Akhirnya, jika demikian halnya, orang Kristian tidak dapat mengungkapkan ketuhanan Yesus Kristus sebagai berbeza daripada Bapa, namun berkongsi dengan Allah Perjanjian Lama, nama yang di atas semua nama – kurios/Tuhan (Filipi 2:9, bd. Yesaya 45:23). Dengan kata lain, orang Kristian tidak dapat menyatakan dengan tegas ketuhanan Yesus Kristus dan mengajar doktrin Tritunggal tanpa perkataan asas yang mengekalkan hubungan semantik antara perkataan Allah dan Tuhan mengikut penggunaannya yang tersendiri dalam Alkitab bahasa Melayu.

Orang Kristian di Malaysia akan berusaha dengan sedaya upaya untuk memelihara keharmonian keagamaan di Malaysia. Sebenarnya, masyarakat Kristian telah bertolak ansur dalam banyak hal untuk mengambil kira perasaan masyarakat Melayu. Bagaimanapun, umat Kristian tidak dapat menerima tuntutan untuk berhenti menggunakan perkataan Allah dan mengambil perkataan Tuhan sebagai penggantinya, hanya kerana beberapa orang Melayu yang kurang faham berasa tersinggung terhadap amalan orang Kristian tersebut – perasaan tersinggung tidak sepatutnya timbul sekiranya kumpulan orang tersebut mengetepikan emosi dan prejudis serta memeriksa bukti sejarah dan linguistik dalam keadaan tenang dan rasional. Sekurang-kurangnya, orang Melayu (atau Muslim) seharusnya mengerti bahawa penganut agama tidak boleh sesuka hati mengubah erti Kitab Suci mereka, Firman Allah, untuk memenuhi tuntutan manusia yang tidak berasas.

Makluman Tambahan

Saya membawa para pembaca merujuk pos yang disertakan, “Translating the Names of God” diterbitkan dalam jurnal ilmiah (The Bible Translator) yang memberikan contoh-contoh konkrit bagaimana nama Allah diterjemahkan dalam Alkitab bahasa Melayu. Artikel itu juga membincangkan kontroversi antara beberapa orang sarjana tentang bagaimana perkataan Allah dan Tuhan sepatutnya digunakan dalam semakan versi Shellabear dalam Alkitab bahasa Melayu. Bagaimanapun, semua sarjana dalam kontroversi ini bersetuju bahawa orang Kristian perlu menggunakan kedua-dua perkataan Allah dan Tuhan dalam Alkitab bahasa Melayu.

Nota: Sebahagian artikel ini dikeluarkan semula dengan izin daripada penulis, Dr. D. Soesilo.

Acknowledgement and thanks to NECF for translating this article. LINK

One Comment

  1. Revalbert says:

    “SEKALI PANDANG – BUKAN SEMUA PAHIT ITU RACUN”

    Saya petik kenyataan anda seperti berikut:

    “Orang Muslim di beberapa negara lain di dunia (Arab, Afrika Utara, Pakistan dan Indonesia) tiada bantahan dan tidak bimbang akan kemungkinan keliru apabila orang Kristian menggunakan perkataan Allah. Sebaliknya, segolongan orang Muslim Malaysia pula mendakwa mereka keliru; suatu fenomena yang sangat aneh. Pemerhatian ini membuktikan kebenaran kepada andaian bahawa isu Allah ini merupakan isu Melayu buatan dan bukan isu Muslim sebenar. Sebenarnya, bantahan yang dirancang terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Dec 2009 untuk membenarkan Catholic Herald (dan orang Kristian) menggunakan perkataan Allah harus dilihat sebagai manipulasi sinis oleh ahli-ahli politik Melayu untuk mendapatkan undi daripada masyarakat mereka.”

    Saya ingin membuat komen di sini, kalau anda menjadikan dunia (Arab, Afrika utara, Pakistan dan Indonesia) menjadi contoh sikap toleransi kaum Islam terhadap pengizinan Nama Allah dipakai oleh kaum Kristian merupakan suatu isu yang perlu dipertimbangkan semula. Contohnya di Arab,Afrika utara, Pakistan dan Indonesia, sudah terjadi ribuan Kristian telah terbunuh atau dibunuh akibat rusuhan agama sejak negara-negara tersebut wujud. Manakala di Indonesia pun berlaku perkara yang sama – ribuan umat Kristian terbunuh atau dibunuh kerana rusuahan agama serta ratusan gereja dibakar atau terbakar. Semua ini berlaku disebabkan pihak kerajaan masing-masing tidak memerhatikan atau melayan rasa tidak puas hati rakyatnya. Di Malaysia, buat setakat ini…tiada umat Kristian dibunuh atau terbunuh akibat rusuhan agama sejak negara tersebut merdeka, tiada gereja yang terbakar atau dibakar akibat rusuhan secara besar-besaran..kecuali ada dua – tiga gereja (KL/Selangor)terbakar di bahagian luar dan sedikit disebelah dalam akibat perbuatan khianat beberapa orang dan bukan akibat rusuhan agama. Pihak Polis Malaysia sudah menangkap dan mendakwa si pelakunya dalam Mahkamah. Bukan macam di Indonesia..gereja – gereja yang menjadi mangsa habis dimakan api.

    Ini bererti sampai setakat ini..sejak negara Malaysia terbentuk … belum pernah terjadi negara mengalami bencana rusuhan agama antara PENGANUT Kristian dan Islam. Peristiwa BERDARAH 13 Mei..adalah bukan rusuhan agama tetapi rusuhan kaum di antara kaum Cina dan kaum Melayu, semuanya berlaku di Semananjung Malaysia.

    “RUSUHAN” disebabkan oleh rasa tidak puas hati tidak terkawal; dan “Rasa tidak puas hati yang tidak terkawal” adalah disebabkan oleh ‘kekeliruan atau salah-mengerti’, dan isu nya amat bahaya apabila ianya melibatkan agama.

    Oleh itu..sudah pasti Pihak Hakim (Mahkamah Rayuan Malaysia)..dengan berat hati ..terpaksa membuat keputusan mendadak dan penuh kontrovesi…. demi melenyapkan atau mengurangkan rasa kekeliruan ini daripada berlaku yang akhirnya menimbulkan rusuhan agama di Malaysia dan semua pihak dalam kerugian. Keputusan memberikan hak kepada ugama Islam menyebut nama Tuhan mereka “ALLAH” adalah demi mengelakkan kekeliruan daripada berlaku di kalangan rakyat berugama Islam dan Kristian.

    Betul juga…secara jujurnya…sesama Kristian pun masih ada ‘kekeliruan’ tentang siapakah nama Tuhan mereka sebenarnya menurut Bible asli (Hebrew/Greek).